Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes penularan COVID-19 akan meningkat pada perayaan Aidilfitri ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata jumlah jangkitan COVID-19 itu berisiko kembali meningkat berikutan warga kota akan pulang menyambut hari raya di kampung mereka.
Katanya, ini merupakan tahun pertama keluarga yang ramai akan balik serentak selepas lebih dua tahun negara dilanda COVID-19. Bagaimanapun, Khairy berkata pihaknya telah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memberikan rawatan kepada pesakit.
“Ya memang betul raya ini kita jangka akan meningkat kes terutamanya bila balik nanti akan bergaul antara saudara mara, tak akan pakai pelitup muda, jadi ada risiko (kes COVID-19) naik.
“Jadi, kita KKM bersedia untuk memberi rawatan kepada mereka. Kalau gejala teruk, kita dah sedia… tapi kita memang jangkakan akan ada (peningkatan kes COVID-19),” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Khairy turut memohon golongan warga emas untuk mengambil dos penggalak bagi untuk melindungi diri mereka.
Katanya setakat ini hanya 77 peratus golongan tersebut telah menerima dos penggalak dan pihaknya mensasarkan lebih 90 peratus golongan itu akan mengambil suntikan itu.
“Saya harap sebulan dua ni dapat capai ke peringkat 90 peratus,” katanya lagi.
Sumber : Gempak
Leave a Reply