‘Dia Tak Pernah Tunjuk Sakit’ – Isteri Saleem

“SAYA dah nampak, tapi saya tak nak bercakap kepada sesiapa. Saya dah tahu keadaan Abang Saleem 50:50 untuk bertahan, tapi saya takkan hebohkan selagi doktor tak sahkan,”

Begitu diceritakan isteri penyanyi Saleem, Julia @ Juriah Bachok mengulas saat terakhir hayat suaminya, hari ini.

Julia berkata, Saleem seakan rindu pada rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras dan meminta dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.

“Dia sudah bertambah sihat, boleh berjalan dan boleh makan dan minta untuk pulang ke rumah.

“Mulanya saya keberatan untuk ikut kehendaknya, tapi itulah, dia nak pijak rumahnya buat kali terakhir.

“Dia rindukan rumah dan paling penting, dia nak jumpa anak kami, Mohd Amirul Mukminin, 15,” katanya.

Menurut Julia, Saleem memang rapat dengan Amirul dan akan menunggang motosikal sekiranya ingin membeli apa-apa barang.

“Pergerakannya di rumah juga dibantu oleh Amirul. Rakan artis Nik Putra dan Afee Utopia ada melawatnya di rumah dan dia tahu kehadiran mereka.

“Namun dia hanya mampu angkat tangan kerana tak boleh bercakap. Suaranya pun hanya keluar sikit-sikit.

“Saya reda… cuma saya sedih kerana dia orang yang sangat baik. Tak pernah kacau orang dan hanya buat hal sendiri,” katanya.

JULIA (kiri) ditenangkan ahli keluarganya. FOTO Sairien Nafis

Julia berkata, selepas enam hari berada di rumah, keadaan suaminya kembali kritikal dan dia membuat keputusan membawanya semula ke PPUKM pada 9 Oktober lalu.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia ditidurkan oleh doktor. Semasa ditidurkan dia senyum kepada saya. Selepas itu, saya cuma dapat tengok denyutan nadinya turun naik pada mesin.

“Ketika itu, dia dah tak dapat cakap apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, sebelum Saleem dibawa balik ke rumah, dia ada berpesan kepada Julia agar menjaga anak mereka iaitu Amirul dengan baik.

“Itu saja pesanannya dan selepas itu dia sudah kritikal sehinggalah sebelum meninggal dunia, dia tak lagi bercakap dengan saya.

“Dia memang sakit tapi dia lawan. Dia tak pernah tunjuk sakit dia pada saya.

“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu Saleem, saya dan anak-anak serta yang menguruskan jenazah abang Saleem hari ini,” katanya.

Katanya, kenangan terakhirnya bersama Saleem ialah ke Kuantan, Pahang untuk penganjuran ‘roadshow’ beliau sebelum terbabit dalam kemalangan motosikal pada 20 September lalu.

“Tetapi Allah sudah tentukan kami tiada rezeki apabila dia kemalangan,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom like page kami di fb juga @diari dunia

Sumber:hmetro

Facebook Comments