KUALA LUMPUR : Jika tidak menerima rawatan awal mungkin arena sukan negara kehilangan permata yang menjadi satu-satunya harapan untuk menggenggam emas di Olimpik kelak.
Situasi berkenaan terjadi kepada Azizulhasni Awang selepas disahkan mengalami masalah jantung hingga hampir menamatkan kariernya sebagai pelumba basikal negara baru-baru ini.
Malah, kehilangan ‘The Pocketman’ negara secara tiba-tiba senyap sejak awal Februari lalu akhirnya terjawab apabila sebenarnya dia bergelut dengan rawatan penyakit jantung itu sebelum melakukan pembedahan 21 April lalu.
Berkongsi pengalaman terbabit, Azizul berkata, dia mula berasa sakit di bahagian dada sejak menjalani latihan pada awal Februari lalu sebelum merujuk situasi berkenaan kepada pakar perunding jantung kardiologi di Melbourne iaitu doktor Barveen Aisha Abu Baker bagi menjalani pemeriksaan dan ujian yang lebih teliti.
Katanya, hasil daripada siri ujian terbabit mendapati jantungnya mempunyai keadaaan yang dipanggil ‘anomalous aortic origin of right coronary artery’ (AAORCA).
“Keadaan ini jarang ditemui dan pakar bedah di Australia memutuskan bahawa perlu menjalani pembedahan pembetulan (corrective surgery) kerana risiko ‘sudden cardiac arrest’ (serangan jantung) yang tinggi.
View this post on Instagram
“Selain itu, situasi berkenaan tidak boleh buat main kerana boleh terkena serangan jantung kerana kebanyakan atlet lain yang terkena penyakit berkenaan mungkin sudah meninggal dunia dan hanya menyedari selepas melakukan bedah siasat,” katanya, dalam sidang media secara atas talian sebentar tadi.
Selain itu pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu berkata, dia terpaksa melakukan pembedahan segera memandangkan penyakit berkenaan akan menyebabkan keadaannya bertambah parah dan berisiko tinggi terkena serangan jantung.
“Saya ada bertanya kepada pakar perubatan jika saya berhenti bersukan adakah penyakit berkenaan akan berkurangan atau sembuh namun mereka menyatakan bahawa keadaan akan bertambah buruk lagi.
“Selepas melakukan pembedahan, keadaan saya memang lain kerana cepat penat dan ada satu ketika berasa terlalu letih dan tidur seharian,” katanya.
Awal tahun ini boleh dikatakan tempoh cukup mencabar buat Azizul selain disahkan menghidap masalah jantung, dia juga kehilangan ayahnya Awang@Muda Embong, 73, meninggal dunia akibat strok.
View this post on Instagram
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli memaklumkan bahawa pembedahan pembetulan itu iaitu ‘reimplantation of the right coronary artery’ dijalankan melalui teknik ‘minimally invasive surgery via mini-sternotomy’ yang bertujuan membantu mempercepatkan proses pemulihan Azizul.
“Kos pembedahan beliau telah dibiayai melalui skim insurans yang dicarum oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
“Azizul berehat di rumah beliau di Melbourne Australia di bawah pemantauan pasukan perubatan. Pada masa yang sama, pasukan pakar perubatan sukan ISN dan pakar kardiologi sukan Institut Jantung Negara (IJN) sedang memperhalusi beberapa kriteria serta elemen penting dalam merangka program pemulihan Azizul yang turut meliputi sokongan perkhidmatan sains sukan,” katanya.
Sumber : hmetro
Leave a Reply