Tempah Meja Untuk Berbuka. Juadah Dah Siap Hidang, Tapi Pelanggan Tak Muncul.

SEJAK kedatangan bulan Ramadan kira-kira dua minggu lalu, saban hari kita disajikan dengan perkongsian orang ramai mengenai kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadan mahupun restoran.

Ramai meluahkan rasa geram dan terkilan kerana makanan yang dijual hanya ‘indah khabar dari rupa’, selain terkait dengan isu kebersihan.

Bagaimanapun baru-baru ini tular pula satu video memaparkan luahan seorang pemilik restoran yang mendakwa ditipu pelanggan.

Menerusi video yang dimuat naik, pemilik restoran berkenaan meluahkan rasa sedih apabila pelanggan yang membuat tempahan di premisnya untuk berbuka puasa tidak kunjung tiba.

Lebih pilu apabila pelbagai juadah sebagaimana yang dipesan sudahpun dimasak dan dihidangkan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Berkongsi cerita dengan mStar, Nor Fazilah Jusoh berkata pelanggan yang memperkenalkan nama sebagai Ayu menghubunginya pada Selasa lalu bagi menempah slot berbuka puasa untuk hari Khamis di restorannya.

“Ayu tempah meja dan hidangan untuk lapan orang iaitu enam dewasa serta dua kanak-kanak.

“Pada hari Khamis sekitar pukul 5 petang, dia sempat WhatsApp untuk adjust menu dan bertanyakan jumlah harga makanan. Saya sempat balas WhatsApp tersebut.

“Namun apabila tibanya waktu berbuka puasa, ketika pelanggan lain semua dah menikmati hidangan di meja masing-masing, baru saya sedar meja Ayu masih kosong. Pesanannya sudah kami hidang.

scam 1

Tangkap layar (screenshot) mesej perbualan di Whatsapp antara Nor Fazilah dan pelanggan yang bernama Ayu.

“Saya fikir mungkin trafik sesak atau sebagainya, jadi saya WhatsApp sekitar pukul 7.40 petang. Tapi mesej saya hanya ‘blue tick’ tanpa balasan. Saya call, tak angkat pula,” cerita Nor Fazilah.

Untuk rekod, Nor Fazilah mengusahakan Eila Seafood Restoran Maggie Ketam Power yang terletak di Puchong, Selangor.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk menunggu pelanggan berkenaan namun kelibat Ayu dan keluarganya tidak kelihatan meskipun waktu menginjak pukul 10 malam.

“Akhirnya saya putuskan untuk sedekah saja makanan yang ditempah Ayu kepada orang lain. Saya buat live di media sosial minta sesiapa mahu ambil, sila datang ke restoran.

“Alhamdulillah, ada budak-budak bujang yang tinggal berdekatan ambil makanan tu,” ujar pemilik restoran berusia 43 tahun ini.

scam 3

Restoran Nor Fazilah yang terletak di Puchong.

Tambah Nor Fazilah, dia mengakui sangat terkilan dan sedih kerana diperlakukan sedemikian oleh pelanggan tambahan pula ketika umat Islam menyambut Ramadan.

“Saya tak tipu yang saya sedih apabila pelanggan buat macam tu. Bukan saya sahaja, mana-mana restoran pun kalau lihat, kedai mereka tak penuh pun ketika bulan puasa sebab ramai pilih beli di bazar.

“Sebab itu apabila ada yang menempah, kami sangat hargai sebab struggle nak tarik pelanggan. Saya ada baca komen, ada yang persoalkan kenapa tak ambil deposit dahulu daripada pelanggan.

“Sebenarnya saya nak memudahkan pelanggan sebab tak semua ada perbankan dalam talian ataupun pandai transfer. Apabila mereka kata nak bayar di kedai, kita terima.

“Ada pula yang komen, masak makanan apabila pelanggan dah ada di kedai. Cara ini sangat tak logik. Mana mungkin kita nak siapkan serentak lebih-lebih lagi yang datang pukul 6 petang atau last minute,” ujarnya lagi.

Bukan itu sahaja, Nor Fazilah juga berkata ada segelintir netizen menuduhnya sengaja mengadakan cerita demi sebuah content media sosial.

“Saya bukan bodoh. Saya bukan tak nak ambil deposit tapi saya positif dan mahu memudahkan pelanggan. Kita niat nak permudahkan orang, tapi kita pula terkena.

“Yang tak duduk dekat tempat saya boleh la cakap macam-macam. Sale kami menurun banyak berbanding bukan bulan puasa. Sebab itu kita hargai sangat apabila dapat tempahan namun inilah risiko para peniaga,” ujarnya.

Tambah Nor Fazilah yang sudah tujuh tahun mengusahakan restoran berkenaan, dia menganggap apa yang berlaku sebagai sebahagian ujian di bulan Ramadan.

scam 2

Hidangan ‘signature’ di restoran Nor Fazilah iaitu maggie ketam.

“Saya sendiri tak sangka video tersebut viral. Rupa-rupanya ada hikmah di sebalik ujian ini. Ramai yang prihatin dan hantar mesej di direct message untuk tolong bayarkan makanan pelanggan berkenaan.

“Saya tolak dengan baik tapi ada seorang yang beriya-iya nak transfer sebab katanya dia nak rebut pahala juga. Saya akur dengan niatnya dan beritahu beri berapa sahaja seikhlas hati dan saya akan panjangkan sedekahnya,” katanya.

Tambah Nor Fazilah lagi, apa yang berlaku baru-baru ini sememangnya membuatkan dia lebih berhati-hati agar insiden yang sama tidak berulang.

“Selepas insiden itu, saya ambil deposit kecuali bagi kes terpencil. Alhamdulillah customer pun faham.

“Moga-moga perkongsian ini dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada yang lain juga,” akhirinya.

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DDN

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariDuniaNews

Sumber: Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*