KEHILANGAN insan tersayang pastinya meninggalkan kesan amat mendalam kepada sesiapapun.
Apatah lagi pemergian itu melibatkan orang terdekat termasuk ahli keluarga sendiri.
Begitulah luahan Nur Syazwanee Anuar, mengenai kakaknya yang menghembuskan nafas terakhir pada 6 Februari lalu.
Mesra disapa Wanee, gadis berusia 23 tahun itu berkata, pemergian kakaknya yang dipanggil Along ternyata merupakan satu kehilangan besar buat seluruh keluarga.
“Along batuk ni sudah lama, sebelum kahwin dari tahun lepas lagi. Dia cuba makan macam-macam ubat tapi batuk tu masih tak surut.
“Selepas kahwin, batuk kering dia tu masih macam tu juga tapi kami tak syak sebarang penyakit lagi. Bila Along mengandung, dia pergi buat pemeriksaan di hospital pasal batuk dia. Tapi pihak hospital cakap batuk Along ni sakit biasa saja.
View this post on Instagram
“Bila doktor cakap macam tu, kami rasa lega sikit walaupun masih risau dan kasihan tengok dia batuk tak berhenti. Ibu cakap mungkin ‘pembawakan’ sebab mengandung. Kami berharap lepas bersalin dia akan pulih dan sihat,” jelas Wanee.
Biarpun selamat melahirkan anak perempuan, batuk yang dialami kakak sulung daripada empat orang adik-beradik itu masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh.
Kakak sulung Wanee meninggal dunia pada 6 Februari 2022.
Segala ikhtiar dan perubatan cuba diberikan bagi merawat penyakit wanita itu tapi masih belum menemui penawarnya.
Keadaan kakaknya itu terus berlanjutan sehingga badannya menjadi kurus akibat kesan daripada penyakit batuknya yang semakin parah.
“Selepas Along selamat bersalin, batuk dia makin teruk sampai semua makanan yang dia makan keluar (muntah) balik. Dah beli banyak vitamin, tapi sama juga tak ada perubahan.
“Tak sampai hati tengok Along makin kurus. Berat dia daripada 50kg (kilogram) sampai tinggal 40kg lebih je masa dia sakit. Masa sakit tu Along dah jadi pelupa. Banyak benda dia tak ingat sampai solat pun saya kena ada jaga dekat sebelah.
“Kami terpaksa bawa dia ke hospital swasta untuk buat pemeriksaan. Lepas seminggu, keputusan darah Along keluar dan doktor minta bawa dia ke hospital segera. Kata doktor, Along kekurangan vitamin dalam badan,” kata Wanee.
Mengimbas kembali, katanya, Along berat hati untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana enggan berpisah dengan anaknya yang baru lahir.
Arwah Along selamat melahirkan bayi perempuan.
Jelas Wanee yang menetap di Batu Pahat, Johor ini, dia berasa sayu apabila Along terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Masa Along masuk hospital, saya dekat rumah jaga anak dia. Ibu, ayah dan suami Along saja yang bawa dia ke hospital.
“Doktor cuba rawat dengan berikan antibiotik terbaik dekat Along. Lepas Along dah stabil, dia dipindahkan ke hospital kerajaan. Masa dengar berita tu saya rasa lega sikit nak pergi kerja.
“Selepas beberapa hari, doktor beritahu keadaan Along makin kritikal jadi ibu dan ayah pergi ke hospital. Masa mereka tunggu di luar wad, pihak hospital kemudian beritahu Along dah ‘tak ada’,” ujar Wanee dengan nada sebak.
Menurut Wanee, sehingga kini mereka masih tidak mengetahui punca kematian Along, namun doktor cuma mengesahkan arwah meninggal dunia kerana penyakit tibi.
Menerusi perkongsian Wanee di TikTok yang menjadi tular, gadis ini menceritakan semula kejadian yang berlaku kerana terlalu merindui kakaknya, menjelang ketibaan 1 Syawal tidak lama lagi.
Wanee (kiri) akui amat merindui kakaknya.
Baginya, terlalu banyak kenangan mereka bersama membuatkan dirinya sangat sedih mengenangkan kakaknya, sambil melihat wajah anak Along yang masih kecil.
“Hubungan kami berdua sangat rapat. Masa sakit Along kurang bercakap, saya masih ingat bila dia ajak saya tidur sebelah dia. Masa makan pun dia cakap akan makan kalau saya pun makan.
“Kami selalu keluar sama-sama dulu. Bila raya atau ada majlis, kami akan pilih pakaian sedondon. Tak boleh bayang pagi raya nanti macam mana bila tak ada Along sebab dah menjadi tradisi kami adik-beradik akan bersiap untuk pergi beraya sama-sama.
“Kami sama-sama jaga anak Along yang masih kecil. Nak lepaskan rindu dekat Along tu kami cuma tengok anak dia saja sekarang.
“Saya ingat lagi sebelum Along meninggal, dia ada update dekat media sosial ‘Nak cantik-cantik sebelum habis pantang’ tapi rupa-rupanya dia nak cantik depan Allah,” kata Wanee.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DDN
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariDuniaNews
Sumber: Sumber
Leave a Reply