Shuib Sebak Terkenangkan Memori Hari Raya Bersama Arwah Siti Sarah

Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu mendedahkan hingga kini dia masih tidak dapat melupakan momen manisnya bersama arwah isteri, Allahyarham Siti Sarah lebih-lebih lagi bila menjelang Syawal tidak lama lagi.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, meskipun pernah melalui fasa ekonomi turun naik sebelum ini, namun dia bersyukur kerana dikurniakan isteri yang setia di sisi.

“Momen hari raya yang paling diingati bila bersama arwah ketika saya mengalami fasa susah satu ketika dahulu. Saya pernah susah bersama-sama dengan dia. Kami pernah beraya dalam keadaan ekonomi saya yang tak berapa baik tetapi dia tak kisah.

“Pada ketika itu, saya tiada banyak duit. Nak beli baju, kuih raya dan beri duit raya pun kena kira-kira. Tapi dia tetap setia di sisi saat mengharungi fasa tersebut. Perkara ini akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya kepada MH.

Shuib ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Indigital Music di Hotel Royal, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada majlis sama, turut disampaikan Platinum Award untuk lagu Jangan Khianati Aku nyanyian Azlan And The Typewriter.

Dia yang dilihat tidak dapat menahan sebak turut berkongsikan pengalaman pertamanya menyambut kedatangan bulan Ramadan selepas pemergian isteri tercinta.

“Ketika menyambut Ramadan pertama, kebanyakan ahli keluarga berbuka di rumah saya kerana mungkin mereka tahu saya tengah bersedih.

“Sewaktu kami nak berbuka, pada ketika nak menahan rasa sedih, kebetulan saya ternampak sepinggan nasi di meja sebelah kiri saya yang biasanya menjadi tempat Sarah. Saya bertanya kepada abang ipar ‘Ni nasi siapa?’ dan dia menjawab ‘tak tahu’.

“Kami sekeluarga terus terkedu dan berpandang sesama sendiri. Dah la nasi tu ada tapi kerusinya kosong. Saya merasakan seperti ‘kita’ sedang berbuka puasa sekali. Mungkin kami dah terbiasa dengan situasi sebegitu sebelum ini.

“Bila perkara ini terjadi, nak tak nak saya tetap kena lalui juga. Perasaan sedih tu mesti ada. Menangis pun dah biasa sangat. Tapi tak mengapalah, saya niatkan setiap titisan air mata ini, semoga Allah angkat sebagai penghapus dosa dia,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Shuib dan Sarah melayari bahtera perkahwinan selama 10 tahun dan dikurniakan empat orang cahaya mata Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang baru berusia 9 bulan.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada tanggal 9 Ogos tahun lalu.

 

Kredit foto: Instagram Shuib Sepahtu

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DDN

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariDuniaNews

Sumber:MH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*