Lima Tahun Sewa Untuk Pergi Kelas, Pemuda Pulangkan Kereta Sewa RM1 Sebulan Milik Uncle Kentang

NAMA Uncle Kentang sememangnya tidak asing lagi dalam masyarakat dan juga komuniti Facebook.

Lelaki berbangsa Cina ini mengagumkan ramai dengan sifatnya yang suka membantu dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira bangsa mahupun keturunan.

Lihat sahaja profil Facebooknya, penuh dengan ‘update’ mengenai aktiviti kebajikan yang disertainya dan hebahan bagi mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Tiada apa yang diharapkan Uncle Kentang daripada kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya kerana ia dibuat atas dasar tanggungjawab untuk membantu sesama manusia.

Namun tiada apa yang lebih menggembirakan lelaki ini apabila pertolongan yang pernah dihulur suatu ketika lalu, kini dibalas dengan berita yang tidak disangka-sangka, sebagaimana kisah yang dikongsikan di laman Facebook.

kentang 2

Anak muda yang pernah menyewa kereta RM1 sebulan, kini sudah bergelar seorang jurutera.

“Seorang pelajar Universiti Pahang Malaysia. Pada tahun 2017, beliau datang jumpa kami dan mohon sewa kereta RM1 sebulan kerana kampus beliau jauh dari tempat tinggal, nak beli kereta tak mampu, nak sewa tak mampu.

“Maka beliau datang ke Puchong jumpa kami untuk minta bantuan sewa kereta RM1 sebulan. Kebetulan ada insan yang derma kereta RM1 kepada kami iaitu Proton Saga dan kami pun sampaikan kepada beliau,” demikian coretannya.

Menurut Uncle Kentang, anak muda itu menggunakan kereta tersebut selama lima tahun dengan membayar sewa hanya RM60.

kentang rm1

Uncle Kentang memperkenalkan ‘inisiatif RM1’ antaranya Rumah RM1 dan Ambulans RM1.

Lima tahun menggunakan kereta berkenaan, anak muda itu akhirnya memulangkan semula kenderaan tersebut kerana bakal pulang ke kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah ekoran mendapat tawaran pekerjaan.

“Sepanjang lima tahun beliau gunakan kereta, beliau tahu jaga kereta dengan elok, tak menyusahkan kami. Dan pada 7 April 2022, beliau pulangkan kereta kepada kami.

“Ini dia anak muda Sabah, seorang yang bijak mengurus hidup. Beliau lulus dengan degree Mechatronics Engineering. Seorang engineer sekarang.

“Beliau dapat offer kerja di Lahad Datu dan beliau akan balik ke Sabah untuk dirikan rumah tangga. Semoga bahagia. Kawan saya pun nak ambil dia kerja.

“Tak rugi ambil dia kerja kerana beliau sungguh seorang anak Sabah yang terunggul. Beliau pesan kalau kereta itu ada apa-apa rosak, nanti maklum dekat dia,” tulis Uncle Kentang.

Menurut aktivis masyarakat ini lagi, dia turut tumpang berbangga dengan kejayaan anak muda berkenaan yang sama sekali berbeza ketika mula meminta pertolongan lima tahun yang lalu.

kentang 3

Uncle Kentang juga banyak terlibat menyalurkan bantuan untuk urusan pengebumian jenazah orang Islam.

“Saya tersenyum kerana dapat bantu seorang anak muda Sabah mencapai impian beliau. Kereta setelah digunakan lima tahun masih elok.

“Kagum dengan anak Sabah ini. Tak rugi kami sewakan RM1 sebulan kepada beliau. Akhirnya kita berjaya menghasilkan seorang engineer untuk Sabah dan Malaysia.

“Terima kasih kepada penderma kereta RM1. Bersama-sama kita jadikan Malaysia hebat,” tulisnya lagi.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DDN

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariDuniaNews

Sumber: Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*