‘Saya beraya di hospital macam biasa’ – Dr Noor Hisham

SAMBUTAN Aidilfitri bagi ‘lelaki jaket hitam’ ketika negara dilanda Covid-19, ketika ini tidak banyak berbeza seperti tahun sebelumnya.

Berkongsi rutin sambutan Aidilfitri dijangka pada hujung minggu ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, dia akan meraikan Syawal bersama anggota barisan hadapan di hospital.

Menurutnya, usai solat sunat Aidilfitri di rumah kelak, dia akan melawat kakitangan barisan hadapan yang perlu bertugas di hospital pada hari raya nanti.

“Setiap tahun sebelum ini, saya sambut raya di hospital pada hari raya pertama dan akan pergi hospital untuk bertemu kakitangan barisan hadapan.

“Raya tahun ini tidak ada beza kerana mungkin akan solat raya di rumah dan pergi ke hospital untuk bersama dengan kakitangan kesihatan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Imbas kembali beraya bersama warga KKM Dan pesakit di Wad Ortopedik, Hospital Putrajaya pada July 2015

Dr Noor Hisham dalam sidang media sebelum ini memaklumkan pelepasan cuti raya yang diberikan adalah berdasarkan jumlah kes dan keadaan terkini Covid-19.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang sambutan Aidilfitri ini.

“Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza daripada tahun sebelum ini, namun ia tetap diraikan dengan semangat sama.

“Malah, sambutan di rumah sendiri bersama ahli keluarga mungkin dapat memberi makna baharu kepada kita semua kerana berpuasa ketika penularan wabak Covid-19 mengajar kita semua erti kesabaran dan pengorbanan,” katanya.

Beliau berkata, lebih baik terus berada di rumah sendiri dan elak kunjung mengunjung bagi menghalang penularan wabak terutama kepada warga emas, kanak-kanak dan bayi.

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

TERDAPAT pertambahan 63 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 terus meningkat kepada 5,859 kes dengan kadar kesembuhan 82.1 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 78 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 7,137 kes positif keseluruhan.

Beliau berkata, 78 kes baharu dilaporkan itu membabitkan 25 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan dikuarantin sebaik tiba di negara ini.

Katanya, daripada 53 kes penularan tempatan, 40 kes adalah bukan warganegara Malaysia termasuk 25 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil.

“Daripada keseluruhan kes itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,163 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 115 kes iaitu 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, kematian ke-115 itu membabitkan kes 3,616 iaitu lelaki warga negara Malaysia berusia 65 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta buah pinggang.

Katanya, pesakit dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 3 April sebelum meninggal dunia pada 2.58 petang 21 Mei.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DDP

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariDuniaPress

Sumber: Media Kini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*