Biodata Dr Noor Hisham- ‘Wira C0vid19’ Yang Disenangi Ramai

BELIAU bukanlah selebriti terkenal, bukan juga bintang ternama, namun tiada siapa dapat menafikan beliau ialah antara manusia yang paling popular di Malaysia ketika ini.

Sejak lebih empat minggu lalu, figura ini hampir saban hari menghiasi kaca televisyen, muka depan dada akhbar, malah meniti di bibir rakyat Malaysia.

Kemunculannya amat dinanti ramai, malah akaun media sosialnya diserbu ratusan ribu pengikut.

Bagaimanapun, di sebalik wajah yang tenang ini. Di atas bahunya kini terpikul satu beban yang amat berat.

Melawan musuh halimuman bernama Covid-19, beliau bagaikan ‘panglima’ di medan perang yang kini mengepalai ribuan doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan Malaysia.

Hari ini, ramai yang mula membuka mata dan memuji kecekalan beliau, siang malam bersama barisan hadapannya.

Walaupun dihambat penat, namun wajahnya tetap serius dan tenang. Setiap butir bicaranya tersusun, tanpa tinggi suara dan tanpa putus asa.

Ketika diberi kata-kata sanjungan sebagai wira negara, dalam kerendahan hati Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui, “Ini bukan tentang saya, tetapi apa yang kita boleh lakukan bersama-sama untuk memerangi Covid-19.”

Mungkin ramai yang tidak menyedari ketika ketiadaan menteri dan timbalan menteri sewaktu peralihan kuasa kerajaan baru-baru ini, Dr Noor Hisham tetap cekal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Pada saya, tak penting (gelaran wira negara) tetapi apa yang penting adalah perkhidmatan kita,” ujar beliau.

Berusia 57 tahun, Dr Noor Hisham sebenarnya seorang pakar bedah terlatih. Anak kelahiran Sepang, Selangor itu berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988 yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global, Persatuan Pembedahan Antarabangsa.

Menyingkap kembali kisah hidupnya, laman web bekas pelajar Sekolah Menengah Methodist Kuala Lumpur (MBSKL) pernah membicarakan mengenai Dr Noor Hisham melalui sebuah entri pada tahun 2019.

Melalui perkongsian itu, Dr Noor Hisham digambarkan sebagai seorang yang sentiasa merendah diri sejak di bangku sekolah dan seorang yang aktif dalam sukan olahraga.

Kehidupan zaman kanak-kanak Dr Noor Hisham bukanlah semewah yang disangka dan mungkin kekuatannya hari ini terasuh sejak beliau kecil lagi.

Datuk Dr Noor Hisham dibesarkan di sebuah flat kecil di Kuala Lumpur iaitu Flat Loke Yew oleh seorang ibu tunggal.

Malah, ibunya hanya bekerja sebagai seorang tukang cuci dan terpaksa berhempas pulas membesarkannya bersama seorang lagi kakaknya.

Difahamkan Dr Noor Hisham dibesarkan di Flat Loke Yew dan terpaksa berjalan kaki ke sekolah.

Ibu Dr Noor Hisham seorang yang tegas mengenai soal pelajaran.

“Dia pernah memberi kebenaran kepada guru untuk merotannya jika perlu,” singkap suatu sumber..

Ternyata gaya tenang Dr Noor Hisham bukan sahaja disenangi rakyat Malaysia, bahkan kumpulan wartawan yang bertemu mata dengannya dalam sidang media setiap hari.

Wartawan Sinar Harian Putrajaya, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan menggambarkan Dr Noor Hisham sebagai seorang pemimpin yang lembut tutur bicaranya.

Tuan Buqhairah turut mengakui Dr Noor Hisham tidak pernah sekali pun menunjukkan rasa bosan menjawab soalan yang diajukan para wartawan walaupun soalan itu mungkin mengulangi pertanyaan pada hari sebelumnya.

Keperibadian seperti itulah yang digemari pengamal media di Putrajaya dalam memastikan mereka mendapatkan maklumat yang tepat untuk disajikan kepada pembaca.

“Pada saya beliau sangat lembut dalam bicaranya. Jawapan beliau menggunakan bahasa yang mudah membuatkan wartawan dan orang ramai yang menyaksikan sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia secara langsung faham.

“Setiap soalan yang wartawan ajukan, dijawabnya dengan penuh teliti. Sebolehnya beliau menjawab semua soalan kami. Beliau seorang yang free and easy,” kongsi Tuan Buqhairah yang hampir setiap hari membuat liputan sidang media Dr Noor Hisham.

Sebelum bergelar Ketua Pengarah Kesihatan, beliau juga sebenarnya menjawat tugas penting dalam KKM antaranya Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya.

Beliau juga menjadi Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada 2007, Pegawai Perubatan Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya (2004) dan Pakar Bedah Umum (1994).

Biarpun diberi gelaran wira, namun beliau sedikit pun tidak melupakan tenaga kerja bawahnya yang bertungkus lumus berjuang dan berkorban.

Setiap hari Dr Noor Hisham tidak pernah ketinggalan merakamkan penghargaan kepada semua kakitangannya.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua doktor yang bekerja siang dan malam, menggalas tugas yang amat berat dan terus berkhidmat untuk negara.

“Sedarilah kita adalah benteng pertahanan terakhir untuk negara. Sesungguhnya kegagalan bukanlah satu pilihan,” katanya.

PROFIL

Nama: Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Tarikh Lahir: 21 April 1963

Tempat Lahir: Sepang, Selangor

Pengalaman:

* Ketua Pengarah Kesihatan bermula 1 Mac 2013

* Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bermula 29 Januari 2008

* Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya bermula 16 Ogos 2002

* Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin, Jabatan Pembedahan, Hospital Kuala Lumpur bermula 16 Januari 1998

* Fellowship in Endocrine Surgery, Royal North Shore Hospital, University of Sydney Australia 1997-1998

* Fellowship in Breast Endocrine Surgery, Royal Adelaide and Queen Elizabeth Hospitals University of Adelaide Australia 1997

* Pakar Pembedahan Am, Hospital Kuala Terengganu bermula 1 Julai 1994

* Master of Surgery Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Kuala Lumpur (1990-1994)

* Medical Officer Accident and Emergency Department, Hospital K

uala Lumpur bermula 2 Oktober 1989

* House Officer, Hospital Universiti Kuala Lumpur bermula 1 Ogos 1988

* Sumber: Portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia

Anugerah:

Pada tahun 2004, Dr Noor Hisham diberi penghargaan kehormatan yang membawa gelaran Kesatria Mangku Negara (KMN).

Tiga tahun selepas itu, beliau dianugerahkan pula dengan pingat Panglima Jasa Negara(PJN). Anugerah ini membawa gelaran ‘Datuk’ dan hanya terhad kepada 300 penerima hidup dalam satu masa.

Anugerahnya yang lain termasuk:

– Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (2014)

– Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri Pulau Pinang (2013)

– Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (2013)

– Darjah Dato ‘Paduka Mahkota Perlis (2010)

– Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Hospital Kuala Lumpur (2000)

– Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2004)

Wow! Bukan calang-calang orangnya. Semoga Dr Noor Hisham sentiasa sihat dan terus berbakti menjadi tulang belakang menentang Covid19.

Terima kasih dari kami rakyat Malaysia!

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DDP

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @DiariDuniaPress

Sumber: Lubuk Maklumat Press

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*